Salam semua ikhwanul muslimin sekalian, Saya terasa amat tertekan be...
Salam semua ikhwanul muslimin sekalian,
Saya terasa amat tertekan betul dan terasa ingin dihantuk saja kepala ini kerana mengenangkan balik apa yang dikatakan oleh imam selepas subuh tadi. Biasanya, imam akan memimpin membaca dua muka surat Al-Quran setiap kali selepas solat subuh di masjid.
Dia mula berkata untuk menterjemahkan ayat yang dibaca; Kita mungkin boleh khatam Quran dalam bulan ramadhan tahun ini dan kita juga boleh khatam Quran bersama imam terawih. Tetapi apakah kita boleh memahami apa yang kita baca. Fatihah yang kita baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari, mungkin juga kita tidak memahaminya, manakan lagi ayat-ayat yang lain.
Tersentak juga jiwa teman sebentar. Ramadhan ini insyaallah kita bercadang untuk khatam sekali, padahal imam terawih telahpun melangkah bacaan kita. Imam tahfiz membaca setiap rokaat terawih satu muka, setiap malam habis sekurang-kurang 22 muka termasuk 2 rokaat isya dibaca 2 muka surat. Ayat juga dibaca laju sedikit. Tetapi yang pentingnya apa yang kita fahami dari semua ini. Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, ayat-ayat Al-Quran adalah surat kiriman daripada Allah swt. Surat atau manual yang menyatakan panduan untuk hidup dengan peraturan Allah swt.
Siapa itu Allah swt? Dialah yang menggerakkan segala kehidupan dan mengawasi diatas segala-galanya, semua yang ada dalam cekerawala ini. Siapa Allah swt ini, sifat tauhid-Nya, Yang Maha Kuasa keatas semua, menentukan hidup mati dan balasan akhir kepada manusia. Ini masih tidak dapat dirasai dengan penuh yakin.
Kalaulah kita yakin, tentulah kita akan melihat surat kiriman-Nya, memahami-Nya dan melaksanakan perintah-Nya. Sudah mencapai umur dekat 60 tahun tapi masih tidak memahami lagi. Ini yang menjadi masalah kepada kita semua. Segala buku pelajaran semasa di sekolah, di universiti dan institut habis kita baca dan fahami. Sekarang ini pula segala informasi dalam buku, blogs dan websites juga habis kita baca dan fahami. Tetapi ayat-ayat Al-Quran yang berjumlah 6,666 ayat tidak habis kita baca dan fahami. Jadi apakah hubungan kita dengan Allah swt amat mesra untuk layak mendapat anugerah-Nya?
Kalaulah begitu macam mana Allah swt ingin memberi pembelaan kepada kita, macam mana Allah swt akan memajukan kita, menjadi bangsa umat yang contoh, membetulkan konsep hidup kita, melimpahkan rahmat-Nya dan hidayah-Nya. Kalaulah begini, maka terpaksalah kita menerima nasib kita, umat Islam yang malang dalam semua dimensi kehidupan kerana kita meninggalkan Allah swt, perintah-Nya dan meninggalkan risalah Rasulullah saw. Selagi kita tidak balik kepada Allah swt dan insaf dengan kedurjanaan kita, tidak usah diharap kita akan dapat pembelaan Allah swt. Inilah hakikat yang kita semua kena terima. Tidak usahlah kita berteori gitu dan gini, kelemahan kita, yang perlu balik kepada Allah swt.
Ya Allah bantulah kami, Ya Allah ya Tuhan kami ampunilah dosa dan maafkanlah kesilapan kami lahir dan batin. Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu-bapa kami dosa keluarga kami dosa masyarakat kami dosa seluruh ummat Islam yang telah mati dan yang masih hidup dan ummat Islam yang akan datang hingga hari kiamat. Ya Allah sesungguhnya keampunan Mu dan kemaafan Mu lebih luas lebih besar daripada kesalahan kami. Ya Allah Engkau lah Tuhan yang Maha Pemaaf dan Maha Pengampun, ampunkanlah dosa kami dan dosa yang dilakukan oleh kami dan mereka itu. Ya Allah ya Tuhan kami berilah kami kesempatan untuk membaca surat kiriman Mu dan memahami-Nya dan boleh melaksana perintah-perintah MU.
Apakah strategi kita?
- Berdoa kepada Allah swt
- Memahami surat kiriman Allah swt Al-Quran al kareem
- Melaksanakan tuntutan Al-Quran
- Menyebarkan keperluan Al-Quran kepada masyarakat
- Melahirkan generasi Al-Quran
Hadis Akhir Zaman
4. Ilmu Agama Akan Beransur-Ansur Hilang
Ertinya:
Daripada Abdullah bin Amr bin ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain. [H.R. Muslim]
Keterangan
Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, patah tumbuh, hilang berganti, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari Ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya, alim ulamalah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Ini lah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.
5. Golongan Anti Hadith
Ertinya:
Daripada Miqdam bin Madikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata : Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang di halalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan. (Kemudian Nabi saw. melanjutkan sabdanya, Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt. [H.R. Abu Daud]
Keterangan
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Ia hanya percaya kepada alQuran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahani al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi saw. AI-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. OIeh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadis Nabi saw.
Waalah alam
Sebarkanlah Ilmu Walaupun Sebesar Zarah..
Semoga Bermanfaat. Silakan like & share!
like juga page kami di facebook @tvdakwahmy